Khamis, 23 September 2010

Jodoh Mesti Dikejar?

Oh ibu, usiaku sudah lanjut. Namun belum datang seorang pemuda pun meminangku. Apakah aku akan menjadi perawan seumur hidup ku?

Begitulah keluhan seorang gadis Makkah berasal dari Bani Ma’zhum yang kaya raya. Mendengar rintihan si anak, ibunya yang teramat kasih dan sayang akan anaknya itu lantas kelam-kabut ke sana ke mari mencari jodoh untuk si puteri. Pelbagai ahli nujum dan dukun ditemuinya. Dia tidak peduli berapa sahaja wang yang harus keluar daripada saku, yang penting anaknya yang cuma seorang itu dapat bertemu jodoh.
Namun sayang usaha si ibu tidak juga menampakkan hasilnya. Nyata janji-janji sang dukun cuma bualan kosong belaka. Sekian lama mreka menunggu jejaka datang melamar, namun tidak ada seorangpun datang. Melihat keadaan itu tentu sahaja gadis Bani Ma’zhum yang bernama Rithah Al-Hamqa menjadi semakin bermuram durja. Tidak ada kerja lain yang dilakukan setiap hari kecuali mengadap cermin dan memandang dirinya sambil terus bertanya-tanya, ”Mengapa sampai hari ini tidak kunjung datang juga seseorang yang akan mengahwiniku?”
Penantian jodoh yang ditunggu-tunggu Rithah akhirnya bernoktah tatkala ibu saudaranya yang berasal dari luar daerah berkunjung ke rumah mereka dengan membawa jejaka tampan. Akhirnya Rithah yang lanjut usia pun menikah dengan jejaka muda rupawan. Kenapa si pemuda itu bersedia menikahi gadis Bani Ma’zhum yang tua itu? Ternyata ada udang di sebalik batu.
Rupa-rupanya jejaka rupawan yang miskin itu hanya menginginkan kekayaan Rithah yang melimpah ruah. Sebaik sahaja si jejaka berhasil menggunakan sebahagian harta Rithah, dia pun pergi tanpa sebarang pesan.
Tinggallah Rithah menangisi pemergian suami yang entah ke mana. Kesedihan dan kemurungan Rithah dilepaskan dengan membeli beratus-ratus buku benang untuk dipintal (ditenun). Setelah jadi hasil tenunan, wanita itu mencerai-beraikan lagi. Begitulah seterusnya dia menjalani sisa-sisa hidupnya. Sesuailah kata-kata jahiliah yang mengatakan, ”asmara boleh membuat orang jadi gila sasau” (tentu bagi orang-orang yang tidak memiliki iman)
Al-Quran mengabadikan kisah gadis Bani Ma’zhum ini dalam Surah An-Nahl ayat 29, ”Dan janganlah kamu seperti perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi bercerai-berai kembali...”
Yang dimaksudkan Al-Quran dengan ’wanita pengurai benang yang telah dipintal’ itu tidak lain ialah Rithah Al-Hamqa. Dalam ayat tersebut Allah melarang kita berkelakuan seperti Rithah dalam menghadapi masalah jodoh. Namun demikian banyak kebaikan yang dapat kita petik daripada episod gadis kaya keturunan Bani Ma’zhum tersebut.
Kisah Rithah mengajar kita bahawa jodoh sebenarnya urusan Allah. Jodoh tidak dapat dihindari walaupun kita belum menginginkannya. Dan ia juga tidak dapat dikejar walaupun ketika kita terlalu inginkannya. Oleh sebab Allah menentukan jodoh kita, maka tidak layak bagi kita berasa bimbang dan risau seperti Rithah. Kalau sudah sampai waktunya, jodoh itu pasti akan datang sendiri.
Episod Rithah juga mengajar kita untuk melakukan ikhtiar (usaha) dlam mencapai cita-cita. Kalau ibu Rithah mendatangi pelbagai ahli nujum agar anaknya berhasil mendapat jodoh, bagi kita tentunya memohon pada Al-Mujub (Yang Maha Pengabul Doa) agar tujuan kita tercapai. Allah sendiri berfirman: “ Dan apabila hamba-Ku bertanya tentang Aku, maka jawablah bahawa aku dekat. Aku mengabulkan doa orang-orang yang berdoa kepada-Ku”
Dengan ayat tersebut Allah memberi harapan bahawa setiap doa yang disampaikan pada-Nya akan dikabulkan. Allah tidak mungkir janji. Siapa paling tepat janjinya selain Allah? Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud Al-Tarmizi dan Ibn Majah, Rasulullah S.A.W bersabda tentang masalah doa, “Sesungguhnya Allah malu terhadap seseorang yang menadahkan tangannya berdoa meminta kebaikan kepada-Nya, kemudian menolaknya dalam keadaan hampa.”
Selain itu kita juga harus memupuk sikap sabar dalam menghadapi jodoh yang masih belum menghampiri kita padahal usia semakin senja. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan mereka akan kembali kepada-Nya.”
Sabar dan solat akan selalu membentengi kita daripada desakan orang sekeliling dan godaan syaitan yang berharap kita salah langkah dalam masalah jodoh ini. Masalah ini banyak dihadapi oleh saudara-saudara kita yang sudah layak berkahwin, namun sehingga ke saat ini belum ada juga ikhwah yang datang meminang ternasuk diri anda sendiri. Hal ini merupakan ujian yang – wallahualam – sesuai dengan ketetapan Allah. Banyak kisah menunjukkan bahawa resah gelisah dan tidak sabar dalam masalah jodoh membuat kehidupan selepas pernikahan jadi tidak seindah ketika bujang.
Selain itu kita juga harus terus menjaga kemurnian niat kita untuk berkahwin. Motivasi usia yang semakin senja serta tidak tahan mendengar umpatan orang sekitar harus segera dihilangkan. Itu semua tidak akan menghasilkan sebuah rumah tangga Islam yang kita harapkan. Hal ini kerana kekukuhan rumah tangga kita berkait rapat dengan kuatnya landasan iman dan niat ikhlas kita. Sungguh beruntung menjadi orang mukmin. Tatkala mendapat ujian (termasuk jodoh), dia akan bersabar. Maka sabarnya menjadi kebaikan baginya. Dan ketika mendapat nikmat dia bersyukur, maka kesyukurannya itu menjadi baik pula baginya.
Sikap kita yang paling baik dalam hal ini ialah sentiasa bersangka baik (husnudzon) kepada-Nya. Kerana sesuatu yang kita cintai atau sesuatu yang kita anggap baik (jodoh) belum tentu baik bagi kita menurut Allah. Begitu pula sebaliknya. Sesuatu yang kita anggap buruk bagi diri kita, belum tentu buruk menurut ilmu Allah. Sebagaimana firman Allah, ” Boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal sesuatu itu amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu. Kamu tidak mengetahui sedangkan Allah Maha Mengetahui”.
Akhir sekali, kisah Ritnah memberitahu kita agar mengarahkan cinta (mahabbah) tertinggi kita kepada yang memang berhak memilikinya. Cinta Rithah yang begitu tinggi diarahkan kepada makhluk (suaminya), hingga membuatkan dia gila dan sasau. Seharusnya cinta yang tertinggi itu hanya untuk yang Maha A’la (Khaliq). Bukankah salah satu ciri mukmin ialah asyaddu huballillah? Adapun orang-orang yang beriman itu sangat dalam cintanya kepada Allah (asyaddu huballillah).
”jika arah cinta kita sudah benar, maka yakinlah Allah S.W.T tidak akan mengabaikan kehidupan kita”

1 comments:

NOra berkata...

tuan rumah...lame x update blog ni...mane menghilang??